KOTA KINABALU: Dua rumah dan kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Delima Melayu, Manggatal, di sini, awal pagi tadi.
Laporan kejadian diterima pada jam 1 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, operasi memadam kebakaran turut dibantu BBP Lintas.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan dua rumah dan sebuah kedai runcit dua tingkat.
“Pasukan bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dan empat pancutan dari sumber air jentera bomba,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua struktur berkenaan terbakar sepenuhnya dan operasi terkawal pada jam 1.45 pagi.
“Tiada kecederaan mangsa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.