KEMAMAN: Dua kanak-kanak dan seorang guru cedera apabila kenderaan pelbagai guna, MPV, jenis Proton Exora merempuh bangunan sebuah taska ketika sedang mengundur dalam kejadian di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 7.15 pagi itu dikongsi EXCO Terengganu Hanafiah Mat menerusi hantaran di Facebook.
Akibat kejadian itu seorang budak perempuan berusia tiga tahun cedera di bahagian muka.
Seorang bayi lelaki berusia setahun turut cedera ringan manakala seorang guru wanita berusia 31 tahun mengalami kecederaan retak pada lutut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi memberitahu kejadian berlaku ketika seorang pesara tentera berusia 71 tahun cuba mengundurkan kenderaan mpv miliknya yang diparkir di perkarangan sebuah rumah kosong terletak hanya 5 meter dari taska terbabit.
Warga emas itu bagaimanapun tertekan pedal minyak yang disangkakan pedal brek menyebabkan kenderaan itu meluncur laju melanggar tembok lalu merempuh taska berkenaan.
Penduduk yang menyedari kejadian itu bertindak mengeluarkan semua mangsa yang cedera dan dibawa ke Hospital Kemaman.
Kesemua mangsa dilaporkan stabil.
Siasatan kes mengikut seksyen 42 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.