TUARAN: Dua kanak-kanak masing-masing berusia tujuh tahun ditemukan lemas di sebuah kolam di Kampung Rungus Nahaba, Tamparuli, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 5.18 petang sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, hasil siasatan awal, kejadian hanya disedari selepas adik kepada salah seorang mangsa memaklumkan perkara berkenaan kepada keluarganya.
“Kanak-kanak berusia 5 tahun yang terselamat itu dikatakan turut bersama-sama kedua-dua mangsa terbabit pergi ke kolam berkenaan untuk mandi.
“Selepas dua mangsa itu lemas, kanak-kanak berusia 5 tahun itu pulang ke rumahnya untuk memaklumkan kejadian kepada keluarga,” katanya.
Menurut Noraidin, beberapa penduduk kampung bersama keluarga mangsa kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan menemui kedua-dua mangsa terbabit di dasar kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pihak Hospital Tuaran yang tiba membantu di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia,” katanya dihubungi hari ini.
Noraidin menambah, jarak rumah ke lokasi kedua-dua mangsa (kolam) ditemui berkenaan adalah kira-kira satu kilometer.
“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran manakala keluarga mangsa tampil ke Balai Polis Tamparuli untuk membuat laporan polis.
“Sehingga kini, kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” ujarnya.
Sehubungan itu, Noraidin menegaskan bagi mengelak daripada insiden yang menyedihkan ini berulang, ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan anak masing-masing dan melarang mereka bermain berhampiran takungan air atau sungai serta kawasan yang berbahaya terutama di musim tengkujuh ini.
“Saya juga ingin menggesa semua pihak yang ada membina kolam atau apa-apa bentuk takungan air di kawasan masing-masing agar memasang pagar keselamatan dan tanda amaran untuk mengelak kejadian seperti ini berulang,” tegas beliau.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.