
SEREMBAN: Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, Kuala Pilah kini dikuarantin selepas kedua-dua kampung berkenaan dijangkiti wabak kusta yang menyebabkan seorang penduduk meninggal dunia, Isnin lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga menutup Pusat Reakreasi Jeram Tengkek bagi mengelakkan penularan wabak.
Katanya pejabat kesihatan daerah telah mengesahkan jumlah bilangan pesakit di kampung berkenaan dan saringan secara agresif sudah dijalankan kepada semua penduduk di kedua-dua kampung terbabit.
“Bagaimanapun hanya 65 peratus penduduk yang sudah menjalani pemeriksaan dan saringan itu.
“Pada Sabtu lalu, KKM sudah membuat saringan dan bagi mereka yang belum menjalani saringan akan dibuat pada Sabtu ini.
“Sepanjang kuarantin, segala bekalan makanan serta keperluan untuk penduduk di kedua-dua kampung itu akan diuruskan oleh wakil rakyat kawasan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Terdahulu, Aminuddin memaklumkan seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu akibat dijangkiti wabak kusta, manakala lapan lagi penduduk di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, Kuala Pilah masih lagi dalam rawatan.
Beliau maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya mula mengesan mengenai penularan wabak terbabit pada 2 Januari lalu, selepas sembilan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan dijangkiti kusta.
Daripada sembilan penduduk itu, lima dikesan dari Kampung Orang Asli Chergun manakala empat dari Kampung Guntur.
“Mangsa yang meninggal dunia di rumahnya selepas mengalami demam selama seminggu, manakala yang lain kini diarah kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.