KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mengesahkan dua kakitangannya dari cawangan Wangsa Maju di sini, dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, kedua-dua kakitangan itu dijadualkan memberi keterangan kepada Jabatan Penguatkuasaan JPJ, esok.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan alasan kedua-dua kakitangan PUSPAKOM itu diarah memberi keterangan kepada Jabatan Penguatkuasaan JPJ.
Dalam pada itu, Mahmood juga mengesahkan sebuah kenderaan diperiksa di cawangan Wangsa Maju disita JPJ kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen memandu sah.
“PUSPAKOM menegaskan kakitangan terbabit tidak akan dilindungi daripada sebarang tindakan disiplin dalaman, sekiranya terbukti ada salah laku.
“Bagi memastikan integriti pemeriksaan PUSPAKOM, syarikat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti diperuntukkan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Terdahulu, JPJ dilapor mengadakan operasi secara serentak ke semua cawangan PUSPAKOM di seluruh negara semalam, bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di fasiliti itu mematuhi standard ditetapkan.
Antara kesalahan dikesan dilakukan pemandu lori dalam Op Mengejut PUSPAKOM ialah penggunaan tayar celup yang uzur dan tidak selamat dalam kalangan kenderaan berat, meskipun menyedari ia berisiko meletup bila-bila masa.
Sementara itu, Mahmood berkata, kerjasama penuh akan diberi kepada JPJ yang menjalankan pemeriksaan mengejut di semua cawangan PUSPAKOM di seluruh negara, hari ini.
Katanya, PUSPAKOM juga mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan ke atas cawangan syarikat berkenaan, bertujuan memastikan operasi pemeriksaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Langkah ini akan membantu usaha membudayakan amalan keselamatan jalan raya di negara ini. Kerjasama PUSPAKOM dan JPJ ini dipercayai akan mengukuhkan usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.
“PUSPAKOM sentiasa komited memastikan semua kenderaan diperiksa memenuhi syarat keselamatan ditetapkan.
“Pemeriksaan mengejut ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang berkaitan kenderaan di jalan raya.
“Kami menyokong penuh inisiatif untuk memastikan segala prosedur pemeriksaan dilakukan dengan telus dan mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.