Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Faktor teknikal termasuk berat dan keseimbangan pesawat amat mustahak dalam aspek keselamatan penerbangan.
Bekas Ketua Juruterbang Serantau Penerbangan Malaysia (MAS), Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata pelanggaran terhadap faktor itu boleh menyebabkan insiden pesawat terhempas.
Mengulas mengenai nahas pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan berpandangan, 2 juruterbang dengan 6 penumpang dikira isian maksimum bagi jet kecil seperti itu.
“Jadi bila saya lihat gambar memang kapal terbang itu penuh dan padat. Kapal terbang kecil bila penuh dan padat dia kena tengok dari segi tahap keupayaan ada dalam buku dia, saya pasti juruterbang buat kerja ini, dia akan tengok berapa berat semua, timbang supaya pesawat itu dalam kadar yang selamat dari terbang naik sampai mendarat,” jelasnya ketika ditemubual dalam program MHI semalam.
Beliau turut tidak menolak faktor muatan barangan berlebihan, berkemungkinan menyumbang kepada nahas.
“Fakta berat satu hal, fakta imbangan berat itu kalau kita letak terlampau banyak barang dekat belakang ada kemungkinan boleh naik dengan selamat tetapi apabila kita tukar konfigurasi kita keluarkan tayar kita keluarkan kepak-kepak untuk memperlahankan pesawat sebelum mendarat ini boleh menyebabkan lari keseimbangan pesawat itu,” tambahnya lagi.
Tambahnya, cuaca bukan faktor nahas.
Baginya dengan cuaca sedemikian, pesawat itu mudah dipandu, dengan penglihatan mata kasar tanpa perlu navigasi.
Juga tiada pesawat besar melintasinya, yang boleh menghasilkan ombak angin lalu menolak pesawat jatuh.
Dan tidak timbul isu kehabisan minyak, ini boleh disahkan dari log di Langkawi.
Letupan dan kebakaran jelas menunjukan pesawat mempunyai bahan bakar mencukupi untuk mendarat.
Istilah “jet upset” digunakan untuk mengambarkan keadaan luar kawalan yang dialami pesawat malang itu.
Dalam kejadian itu ketinggian pesawat pada altitud rendah dan laungan kecemasan, ‘Mayday’ juga tiada.
“Kemungkinan kalau kejadian ini arah dalam 10 ke 20 ribu kaki maknanya jarak dari tanah itu jauh kemungkinan juruterbang boleh berbuat sesuatu untuk menyelamatkan keadaan dan ini pernah terjadi di masa lampau, banyak kali kapal terbang dia jadi “Jet Upset” tetapi kerana ketinggian dia ada masa untuk membetulkan keadaan.
“Ini terjadi di ketinggian yang amat rendah, itu fakta yang saya nampak dari video-video dan dari laporan yang saya dapat,” katanya berkongsi pandangan.
Isu jet peribadi dengan nombor pendaftaran luar negara, beroperasi di negara ini pula sudah menjadi lumrah.
Kebiasaannya diberi kelonggaran enam bulan atau lebih sebelum proses pendaftaran semula dibuat.
Bagaimanapun juruterbang harus mempunyai lesen daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Faktor manusia juga katanya perlu ada dalam pertimbangan antaranya rekod kesihatan mental juruterbang.
Semua faktor teknikal yang diutarakan ini perlu diperhalusi dan segala kemungkinan boleh terjawab dengan melihat alat perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR).
Namun Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dilaporkan tidak mempunyai (FDR), hanya dilengkapi (CVR).
Katanya itu akan merumitkan penyiasatan bagi mengenalpasti punca kejadian daripada sudut teknikal dengan tepat.
Walaupun begitu, menurut beliau siasatan yang meragut 10 nyawa itu tidak akan mengambil masa yang lama kerana tidak melibatkan kawasan luas, mudah diakses dan kerangka pesawat dijumpai di satu tempat.