Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
MARANG: Dua jurujual maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang dinaiki bersama lagi dua rakan terlanggar lopak air, sebelum terbabas merempuh pokok.
Kejadian berlaku di Kilometer 45 jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran kampung Pasir Putih Merchang, Marang, kira-kira jam 4.30 petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Farid Izwan Mohd, 24 tahun dan rakannya Muhammad Amir Ikmal Hashim, 20 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, hasil siasatan awal mendapati, kenderaan yang dinaiki mangsa dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu itu melanggar lopak air di selekoh, lalu terbabas merempuh pokok yang berada di kiri jalan.
Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Manakala dua lagi penumpang MPV itu turut mengalami kecederaan yang sama.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.