KUALA LUMPUR: Dua individu yang sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas menghadiri konsert PinkFish Countdown 2024 di mana empat dilapor maut, telah sedarkan diri.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi BH hari ini.
“Kami dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa kedua-dua individu telah sedarkan diri, tetapi masih dalam keadaan lemah,” katanya.
Sementara itu, Hussein berkata polis merekodkan keterangan daripada sembilan lagi individu bagi membantu siasatan.
Ia termasuk penganjur konsert dan rakan kepada tujuh individu yang terjejas.
“Setakat ini, kami telah merekodkan kenyataan daripada 15 individu,” katanya.
Sebelum ini, polis dilapor merekodkan keterangan enam individu dan membuka empat kertas siasatan.
Pada 1 Januari lalu, polis Selangor mengesahkan menerima laporan berhubung kematian empat individu yang menghadiri konsert sempena Tahun Baharu itu.
Laporan polis membabitkan semua mangsa termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun telah dibuat PPUM.
Hussein pada Khamis berkata, empat orang yang maut di konsert itu serta tiga lagi yang dimasukkan ke hospital, semuanya dipercayai mengambil ‘ekstasi’ ketika berada di konsert berkenaan.
Beliau berkata, tiga lagi yang terbabit dalam kes itu semuanya menunjukkan simptom sama seperti mereka yang telah meninggal dunia.
Semakan juga menunjukkan mereka pernah menghadiri konsert sama tetapi dengan kumpulan berasingan, ada yang bersama rakan manakala yang lain bersama ahli keluarga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.