Tumpuan :
Nasional

2 ditahan punggah minuman keras tidak bercukai

Kumarasan (dua dari kanan) menunjukkan rampasan pelbagai jenis arak tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan di Gelang Patah. – FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki ditahan ketika sedang memunggah minuman keras dipercayai tidak bercukai, di kawasan Gelang Patah pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata kegiatan lelaki tempatan berusia 34 dan 41 tahun dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dalam satu operasi khas.

Kedua-dua suspek ditahan ketika sedang memunggah kotak-kotak mengandungi minuman keras tidak bercukai dari sebuah kenderaan ke rumah.

“Polis turut merampas 146 karton minuman keras tidak bercukai, tiga telefon bimbit pelbagai jenama dan dua buah kereta yang dianggarkan bernilai RM171,700.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama sembilan hari bermula 2 Januari hingga esok di bawah Seksyen 116C Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, semalam.

Dalam kes berasingan, Kumarasan memaklumkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri turut menahan tujuh lelaki warga asing, dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual rokok tidak bercukai.

Semua empat warga Indonesia dan tiga warga India berusia 21 hingga 43 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di lot kedai runcit di kawasan Tanjung Kupang, Bukit Indah, dan Gelang Patah pada akhir bulan lalu (27 Disember).

“Polis turut merampas 184 karton pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai bernilai RM27,392.80 daripada lokasi serbuan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini