comscore
Tumpuan :
Nasional

2 disyaki pemburu haram tembak anggota tentera, ditahan

Mancha pada sidang media di IPK Sarawak hari ini. – FOTO: NSTP

KUCHING: Dua lelaki disyaki pemburu haram yang melepaskan tembakan hingga mengorbankan seorang anggota tentera di kawasan hutan Jalan Multipass Link di Song, Kapit, awal pagi Isnin lalu ditahan polis, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 tahun ditahan di Song pada 6 petang hasil siasatan dan maklumat orang awam.

Beliau berkata, turut dirampas selaras senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selain peluru penabur.

“Polis menubuhkan pasukan siasatan khas selepas menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 6 pagi Isnin lalu dan hasil siasatan berjaya mengesan dua suspek.

“Permohonan reman akan dibuat terhadap kedua-dua suspek hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Ibrahim Darus serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung.

Mancha berkata, siasatan awal mendapati senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu milik bapa salah seorang suspek dan mempunyai lesen yang sah.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak memiliki lesen membawa senjata api,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek didapati memburu secara haram dan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka haiwan liar.

“Selepas melepaskan tembakan itu, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal melarikan diri apabila terdengar jeritan.

“Tembakan mengenai anggota tentera berpangkat koperal berusia 29 tahun menyebabkan peluru terkena bahagian pinggang kiri sehingga menembusi buah pinggang dan hati,” katanya.

Akibat kejadian pada jam 2.45 pagi itu, anggota Batalion Ke-3, Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) yang berpangkalan di Kem Oya, Sibu, itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song sebelum dirujuk ke Hospital Kapit, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 7.43 pagi.

Ketika kejadian mangsa yang berasal dari Pakan, Julau bersama satu kompeni 3 RRD sedang menjalani latihan Eksesais Pasak Bumi Siri 2/2024 di kawasan hutan berkenaan.

Sementara itu, Mancha mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Balie Jelian di talian 011-10702264 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini