comscore
Tumpuan :
Nasional

2 bot nelayan asing ditahan, ceroboh perairan Sarawak 

Kapal nelayan asing yang ditahan Maritim Malaysia di kedudukan 132 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram.  – FOTO: Maritim Malaysia

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan dua bot nelayan asing Vietnam dalam operasi di perairan Sarawak, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Arrifin Jusoh berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan aset Maritim Malaysia selepas mendapati bot itu bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan sempena Op Khas Raja Laut, Op Permai, Op Khas Naga Timur dan Op Tiris di kedudukan sekitar 132 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram.

“Kedua-dua bot itu cuba melarikan diri namun tindakan pantas Maritim Malaysia berjaya menghalang mereka melalui force boarding dengan kedua-dua bot berjaya ditahan pada jam 11.35 pagi dan 11.55 pagi.

FOTO: Maritim Malaysia

“Pemeriksaan lanjut mendapati 10 kru yang ditahan termasuk tekong, adalah warga Vietnam berumur antara 30 hingga 66 tahun dan kesemua mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Kamal Arrifin berkata, semua kru kini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, yang jika sabit kesalahan tekong boleh didenda sehingga RM1 juta, manakala kru pula boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Sementara itu, Kamal Arrifin berkata, Maritim Negeri Sarawak melaksanakan latihan Search and Rescue Excersice (SAREX) Menaul Level 2 – Table Top di Miri pada Isnin dan Selasa lalu.

Beliau berkata, latihan itu membabitkan 25 agensi keselamatan, swasta dan persatuan dengan penyertaan seramai 160 peserta.

“Eksesais SAREX bertujuan memperkukuh koordinasi antara agensi dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di laut dengan senario latihan membabitkan pesawat komersil yang hilang di perairan Miri.

“Eksesais ini juga adalah persediaan menghadapi fasa peralihan monsun yang berpotensi menyebabkan cuaca buruk yang memberikan risiko berlakunya insiden di laut,” katanya.

Menurutnya lagi, latihan itu akan diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan kecekapan semua agensi berada pada tahap tertinggi dalam menangani sebarang situasi kecemasan di laut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini