Oleh: Selwam Arjunan
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengesan dua bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar di kawasan dua batu nautika Barat Daya Pulau Rebak, Langkawi petang semalam.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kesemua pati dilaporkan berada dalam keadaan keletihan selepas dipercayai melalui perjalanan yang panjang tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.
“Dianggarkan hampir 300 orang PATI berada di dalam bot terbabit dan pihak Maritim Malaysia telah memberi bantuan termasuk bekalan makanan dan minuman air bersih.
“Kemudiannya bot pati Myanmar tersebut diusir keluar sehingga ke perairan sempadan negara bagi meneruskan pelayaran.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai pergerakan bot ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kejadian itu adalah kali kedua dalam tempoh dua hari selepas polis menahan sekumpulan 196 PATI di Pantai Teluk Yu dekat Ayer Hangat, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, PATI berkenaan mendarat di Pantai Teluk Yu selepas bot kayu yang membawa mereka terkandas di perairan negara.
Kesemua mereka dipercayai dari etnik Rohingya yang didakwa berlepas dengan bot dari Myanmar kira-kira 10 hari yang lalu.
Kesemua tangkapan telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Langkawi dan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi untuk proses dokumentasi.
Saringan kesihatan juga telah dijalankan ke atas semua PATI berkenaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi.
Berikutan dua kejadian itu, komuniti maritim diminta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan negara kepada pihak berkuasa ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.