comscore
Tumpuan :
Nasional

2 blok bangunan SMK Lawas musnah terbakar

 

Oleh: Kadir Edison

LAWAS: Dua blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas musnah dalam kebakaran pada jam 11 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, bomba menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 11.36 malam sebelum mengarahkan 17 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan 2 blok bangunan sekolah jenis struktur separuh kekal yang terbakar 100 peratus pada struktur bangunan.

“Anggaran keluasan bagi blok pentadbiran yang berkeluasan 7,200 kaki persegi, dan blok gedung ilmu dengan keluasan 900 kaki persegi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota terlibat berdepan kesukaran ketika melakukan kerja-kerja pemadaman akibat daripada masalah sumber air di lokasi kejadian.

Bagaimanapun anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dua jam kemudian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.35 pagi tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Difahamkan operasi sekolah terbabit juga ditangguh sementara bagi memberi ruang untuk pihak terlibat menjalankan siasatan punca kebakaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini