comscore
Tumpuan :
Nasional

2 beranak maut kereta langgar tembok jambatan

Keempat-empat mereka sebelum itu menghantar anak yang lain ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Lendu. – FOTO: IPD Kuala Pilah

SEREMBAN: Perjalanan pulang empat beranak berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta Perodua Axia yang dinaiki merempuh tembok jambatan di Kilometer 21 Jalan Kuala Pilah-Tampin.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian jam 3.45 petang semalam itu ialah lelaki berusia 64 tahun dan anak lelaki berusia 31 tahun, manakala isteri lelaki berkenaan berusia 62 tahun dan anak perempuan mereka usia 28 tahun hanya cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, berdasarkan siasatan awal, nahas ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Lendu Melaka.

Katanya, pasangan itu bersama dua anak mereka sebelum itu menghantar anak yang lain ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Lendu dan sedang menghala ke Johol ketika kemalangan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tembok jambatan berdekatan Masjid Jamek Pekan Johol,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang belakang disahkan meninggal dunia, manakala dua yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Kes disiasat mengikut Seksyen (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini