Tumpuan :
Nasional

2 beranak dihanyutkan air deras masih belum ditemui

FOTO: NSTP

PADANG TERAP: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras di Kampung Tanjung Kanan, di sini, hari ini, sudah melebihi lima jam setakat ini.

Operasi SAR itu dilakukan untuk mengesan dua beranak iaitu Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam serta ibunya, Salmah Mat Zain, 46.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, setakat ini pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk untuk membantu mengesan dua beranak terbabit di lokasi.

Beliau berkata, operasi SAR membabitkan pelbagai agensi termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap serta penduduk kampung.

“Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian ini pada jam 8.30 pagi tadi selepas ada orang ternampak dua beranak itu dihanyutkan air deras ketika hendak pulang ke rumah mereka berhampiran lokasi kejadian.

“Si anak adalah pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap manakala si ibu pula bekerja kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mulkiaman berkata, pihaknya mengerahkan semua agensi penyelamat membabitkan kekuatan JBPM Kedah seramai 30 orang bersama enam bot, APM lima anggota dan sebuah bot manakala PDRM 20 anggota dengan tiga bot.

FOTO: NSTP

“Operasi masih diteruskan lagi ketika ini walaupun cuaca cerah dan panas, air pun semakin surut tetapi operasi tetap diteruskan juga.

“Radius pencarian mangsa kini dilakukan dalam lingkungan 200 meter dari dua beranak itu dihanyutkan air deras,” katanya.

Mulkiaman berkata, awal pagi tadi, paras air dilaporkan sedalam kira-kira tiga meter dan air sangat laju namun sekarang semakin surut.

Beliau berkata, pihak bomba menghadapi kesukaran mencari mangsa kerana air sangat laju dan pasukan penyelamat akan melakukan pencarian di bahagian bawah.

“Berkemungkinan pihak bomba akan memanggil pasukan Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM sekiranya mangsa belum ditemui.

“Kawasan ini dan beberapa kawasan yang dinaiki air sejak malam tadi akibat limpahan Sungai Kuala Nerang dan Sungai Kampung Tanjung berikutan hujan lebih dua jam malam tadi,” katanya.

Mulkiaman berkata, setakat ini satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Masjid Aisyah, Kampung Tanjung Padang Terap Kanan yang menempatkan seramai 38 mangsa daripada 13 keluarga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini