BACHOK: Mangsa kedua lemas, Muhammad Asadullah Zehan, 11, ditemukan selepas lebih 16 jam dilaporkan hilang di Sungai Kampung Kubang Telaga, di sini.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan 9.45 pagi tadi dalam operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak semalam.
Terdahulu, arwah abangnya, Muhammad Amirul Mukminin, 17 ditemukan 8.15 malam tadi selepas dua beradik ini lemas ketika memancing di sungai berkenaan petang semalam.
Bapa mangsa, Zehan Mohamed, 47 berkata, sebelum kejadian Muhammad Asadullah ada meminta kebenaran untuk mengikut abangnya, Muhammad Amirul untuk memancing ke sungai berkenaan.
Katanya, anak sulung dan anak keduanya itu bersama seorang lagi rakan Amirul, Ahmad Faezie Fauzi, 17, ke lokasi berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
“Saya ke masjid untuk solat asar, selepas balik saya dikejutkan dengan berita dua anak lemas dan menurut rakan anak (Faezie) anak sulung saya terjun nak selamatkan adiknya yang tergelincir dan jatuh ke dalam salah satu lubang pada titi sungai.
“Mereka ke sana untuk memancing, tapi bukan kebiasaan. Apabila kedua-duanya jatuh, rakan anak balik beritahu kejadian kepada isteri saya,” katanya yang tinggal di Kampung Desa Machang, di sini, ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat.
Beliau turut meminta ibu bapa lebih mengambil berat soal keberadaan anak-anak ketika musim sekolah ini, selain memberi jaminan pihaknya akan membuat rondaan di kawasan tumpuan memancing dan jabatan penerangan Bachok turut sama memberi kesedaran melalui hebahan kepada orang ramai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.