![](https://media.buletintv3.my/2025/02/356F7869-3575-4B90-92E9-422C6A2E9858.jpeg)
ALOR SETAR: Dua beradik yang dilaporkan hilang ketika bermain di hadapan rumah mereka di Taman Insaniah, Kuala Ketil telah ditemui di Sungai Tiang, Pendang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, dua kanak-kanak berusia 13 dan 14 tahun itu ditemui menaiki kenderaan e-hailing.
Beliau berkata, anggotanya sedang dalam perjalanan ke sana untuk membawa pulang dua kanak-kanak terbabit.
“Mereka ditemui sekitar jam 4.30 petang tadi dan Alhamdulillah, mereka ditemui selamat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Azmi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kehilangan dua remaja terbabit sehingga mereka ditemui semula.
Media sebelum ini melaporkan, dua beradik dilaporkan hilang ketika bermain di rumah mereka di Taman Insaniah, Kuala Ketil, sempadan daerah Baling-Kuala Muda, hari ini.
Ibu dua kanak-kanak itu, Maryem Abous yang juga warga Maghribi berkata, kali terakhir dia melihat anak perempuannya, Nur Ikhlas, 14, dan adiknya, Mohamad Farouq, 13, pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.