Tumpuan :
Nasional

2 anggota tentera disyaki buat tuntutan palsu RM25,733.59 ditahan SPRM

Dua suspek diiringi pegawai SPRM Melaka ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini. – Foto: NSTP

MELAKA: Dua anggota tentera direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan butiran palsu bagi tuntutan elaun latihan pelatih berjumlah RM25,733.59, dua tahun lalu.

Perintah reman sehingga 26 Januari ini itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam terhadap dua anggota berkenaan masing-masing berpangkat Koperal dan Sarjan berusia 31 dan 42 tahun selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, suspek berpakaian lokap SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 8.50 pagi diiringi pegawai SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan jam 5.20 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka bagi siasatan kes memalsukan tuntutan elaun pelatih yang tidak menghadiri latihan kem tahunan Siri 3/2023 di sebuah kem tentera di Muar, Johor.

Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut yang mana tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini