comscore
Tumpuan :
Nasional

2 anggota polis cedera tertimbus runtuhan tanah 

FOTO: Tular

KLUANG: Dua anggota polis cedera selepas tertimbus ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak pembinaan perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Susulan kejadian itu, kedua-dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan kecemasan.

Dua anggota daripada Unit Pemusnah Bom yang terbabit dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Koperal Abd Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary.

Kedua-dua mangsa dipercayai cedera parah pada beberapa anggota badan.

Difahamkan, ketika kerja menggali lubang untuk bom berkenaan dimusnahkan, dinding lubang berkenaan tiba-tiba runtuh dan menyebabkan dua anggota polis itu tertimbus.

Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh terbabit tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Saya belum mempunyai butiran lanjut mengenai tahap kecederaan, tetapi saya boleh mengesahkan anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu dikejarkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi media.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehadiran ambulans ke kawasan perumahan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini