PUTATAN: Dua anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik ketika operasi memadam kebakaran di kediaman di tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Pantai Berahi, Petagas, di sini, malam tadi.
Pegawai Bomba, Amran Amir, 34, dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Seorang lagi mangsa, Pegawai Bomba Kanan II, Sharif Faizul, 38, menerima rawatan di lokasi kejadian oleh pasukan EMRS.
Kedua-dua mangsa dilaporkan stabil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.59 malam.
Katanya, 37 pegawai dan anggota dari BBP Putatan dengan dibantu BBP Penampang dan Kota Kinabalu bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak tiga kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi, Komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan sebuah rumah atas kedai tingkat empat terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan tiga aliran, empat pancutan dari sumber air pili bomba berdekatan dan jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, dua anggota bomba terbabit terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran.
“Tiada mangsa awam dilaporkan terbabit dan operasi terkawal pada jam 12.40 tengah malam,” katanya.
Beliau berkata, operasi memadam api tamat jam 1.40 pagi manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.