KAJANG: Dua adik-beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Harmoni, Seri Kembangan di sini, Khamis lalu sudah berada di pangkuan ibunya dalam keadaan selamat, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, Nur Syafiqah Elliana Muhammad Rizuan Sebastian, 15, dan Muhammad Adam Mikhail Muhammad Rizuan Sebastian, 10, ditemui di kawasan Gombak.
“Polis menerima maklumat daripada pengadu iaitu ibu mangsa yang memaklumkan anaknya dijumpai kira-kira jam 8 malam kelmarin.
“Wanita terbabit sudah mengambil kedua-dua anaknya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, dua adik-beradik terbabit sihat dan kini berada dalam jagaan pengadu.
Terdahulu, media melaporkan, dua adik-beradik dilaporkan hilang selepas keluar rumah di sebuah pangsapuri di Taman Harmoni, Seri Kembangan, pada Khamis lalu.
Polis menerima laporan kehilangan pasangan adik-beradik terbabit daripada ibu mereka pada 2.48 pagi Jumaat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.