comscore
Tumpuan :
Nasional

2.1 juta batang rokok putih seludup dirampas

KUANTAN:  2.1 juta batang rokok putih berjaya dirampas oleh sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang di Felda Neram Satu, Kemaman, Terengganu dalam serbuan pada 23 Mei lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya turut menahan lelaki yang juga pemandu lori berusia 36 tahun dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori terbabit dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

“Ketika ditahan, pemandu lori berada di dalam kenderaan sedang berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak.

“Hasil pemeriksaan mendapati muatan yang dibawa adalah rokok disyaki larangan import sebanyak 2.1 juta batang dengan nilai rampasan rokok dan lori dianggarkan berjumlah RM1.62 juta termasuk cukai RM1.4 juta.

“Sindiket ini menggunakan lori kanvas dan bergerak aktif pada waktu kemuncak untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Zazuli berkata, pemandu lori terbabit direman selama 14 hari sehingga 6 Jun ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun
atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diminta membantu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain- lain dengan menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat,” katanya.

Loading...
Terkini