Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
DUNGUN: Seorang wanita maut, manakala dua anaknya terselamat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2).
Nahas berlaku di Kilometer 341.2 selepas kawasan Rehat Dan Rawat (RNR) Paka, jam 10.23 pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Wan Asliza Wan Abdullah Sani, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan patah tulang leher.
Manakala anak mangsa yang terselamat ialah anak perempuannya, Wan Nur Nisa Qistina Wan Zulfan, 20, dan bayi lelaki, Muhammad Ayyash Mikael Nordin, 1.
Ketika kejadian keluarga itu dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menuju ke Kota Bahru, Kelantan untuk melawat waris mereka yang sakit.
Kereta jenis Proton Persona yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan melanggar sebuah kotak pembentung konkrit di kiri lebuh raya.
Mangsa dipercayai tercampak keluar dari tempat duduk pemandu ke dalam pembentung konkrit tersebut.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun, manakala dua anaknya juga dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Kes akan disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.