KUALA LUMPUR: Sebanyak 197 kandungan di pelbagai platform media sosial diturunkan bagi tempoh Januari lepas kerana melanggar etika penggunaan medium itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, 101 kandungan adalah yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.
Menurut beliau, terdapat tiga kaedah digunakan penyedia platform media sosial untuk menurunkan kandungan tersebut iaitu pertama melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengesan dan menurunkan kandungan secara automatik jika didapati melanggar garis panduan komuniti ditetapkan.
“Kedua, menerusi laporan daripada pengguna media sosial dan ketiga atas permintaan daripada agensi atau badan penguatkuasaan.
“Setakat hari ini, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak memohon tindakan untuk menutup atau menyekat mana-mana akaun pengguna media sosial, sebaliknya hanya menurunkan kandungan yang dimuat naik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung usaha kerajaan untuk menyekat pengguna akaun yang memuat naik kandungan menyalahi peraturan seperti menggugat perpaduan kaum.
Menjawab soalan asal Zahir berkaitan dasar jangka pendek, pertengahan dan panjang KKD terhadap aplikasi media sosial yang disalah guna, Fahmi berkata pelaksanaan dasar jangka pendek melibatkan aspek operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara kes demi kes.
“Dasar ini akan diguna pakai dan pelaksanaan pengukuhan kerjasama bersama penyedia platform termasuk aplikasi TikTok dan laman sosial yang dimiliki oleh Meta (Facebook dan Instagram) dan Twitter dari sudut rangka kerja kawal selia bersama.
“Bagi pendekatan dari sudut dasar jangka masa pertengahan dan panjang pula merangkumi kajian semula dan pindaan ke atas peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan ia sentiasa relevan dan praktikal mengambil kira situasi semasa,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai jaminan kerajaan terhadap kebebasan hak bersuara, Fahmi berkata KKD memberi jaminan hak itu akan diteruskan dan diperkukuh, namun menegaskan ia bukan bermakna mana-mana pihak boleh menabur fitnah atau menyebarkan maklumat tidak benar kepada orang ramai. – BERNAMA