Oleh: Selwam Arjunan
LANGKAWI: Seramai 196 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar dipercayai etnik Rohingya yang menaiki bot mendarat di Pantai Teluk Yu, di sini, awal pagi tadi.
Sementara itu, dua lagi bot yang dipercayai membawa rakan senegara mereka di kawasan perairan sama sedang dikesan pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya telah mengaktifkan Operasi Guard bagi menggandakan rondaan mengesan saki-baki PATI terbabit.
“Tindakan pantas ini susulan penahanan 196 PATI Myanmar oleh pihak polis di kawasan Pantai Teluk Yu pada pukul 3.25 pagi tadi, selepas bot yang membawa mereka terkandas di perairan tersebut.
“Berdasarkan maklumat yang diterima pihak Maritim Malaysia, terdapat dua lagi bot yang dipercayai membawa PATI Myanmar berada di laut, namun lokasi sebenar masih belum dapat dikenal pasti.
“Maritim Malaysia telah menggerakkan bot dan kapal ke lokasi pendaratan, membuat rondaan di sekitar perairan utara Langkawi serta di kawasan sempadan negara dan mengatur gerak pesawat udara bagi melaksanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan PATI berkenaan.
“Maritim Malaysia turut berhubung dengan pihak penguat kuasa Thailand untuk mengenal pasti sama ada pergerakan dua bot yang membawa PATI berkenaan dikesan oleh pihak negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, setakat ini tiada sebarang petunjuk penemuan dua bot berkenaan di kawasan pencarian.
Justeru komuniti maritim sekitar Langkawi diminta untuk menyalurkan maklumat segera ke talian 999 atau hubungi Maritim Rescue Sub Centre (MSRC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868 jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara.
Terdahulu, pendaratan pati di Pantai Teluk Yu dekat Ayer Hangat tular di media sosial selepas dikongsi penduduk tempatan.
Gambar pertama menunjukkan sebuah bot kayu besar sedang diperiksa pihak berkuasa tempatan dan satu lagi gambar menunjukkan pati terbabit berada di tepi pantai sambil dikawal pihak berkuasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.