comscore
Tumpuan :
Nasional

1,910 Kes Penderaan, Pengabaian Kanak-Kanak Di Selangor Sejak Mac 2020-2021

SHAH ALAM: Sebanyak 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan di Selangor bermula Mac 2020 hingga Mac tahun lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman berkata berdasarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, daripada jumlah tersebut, penderaan fizikal merekodkan bilangan tertinggi iaitu 686 kes diikuti penderaan seksual (606), pengabaian (555) dan emosi (63).

“Penderaan dan pengabaian kanak-kanak antara tiga gejala sosial yang berbangkit akibat pandemik COVID-19 termasuk jenayah indeks gejala sosial serta masalah kekeluargaan dan kesihatan mental,” katanya menjawab soalan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal) yang ingin tahu mengenai gejala sosial yang berbangkit akibat penularan pandemik COVID-19.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata 17,992 kes keseluruhan direkodkan bagi jenayah indeks gejala sosial melibatkan jenayah kekerasan dan harta benda dalam tempoh pandemik bagi 2020 dan 2021.

Beliau berkata berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor, sebanyak 4,633 kes jenayah kekerasan direkodkan dengan samun berkawan tanpa bersenjata api mencatat jumlah tertinggi berjumlah 1,798 kes. 

“Bagi jenayah harta benda, 3,359 kes direkodkan bagi tempoh itu dengan curi motosikal merekodkan kes paling tinggi iaitu 4,123 kes,” katanya.

Mengenai masalah kekeluargaan dan kesihatan mental, Mohd Khairuddin berkata terdapat peningkatan kepada permintaan sesi kaunseling sepanjang tempoh pandemik COVID-19 terutama sesi secara dalam talian.

“Berdasarkan analisis data dari Pusat Kaunseling Selangor (PKS), antara aduan masalah yang diterima pihaknya ialah keretakan hubungan suami isteri dan anak-anak dan psikopatologi iaitu isu berkaitan kesihatan mental, psikologi abnormal (tekanan, kemurungan, kebimbangan dan lain-lain).

“Jumlah klien PKS pada 2019 adalah seramai 86 orang, meningkat kepada 251 individu pada 2020 dan 214 orang pada tahun lepas,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini