comscore
Tumpuan :
Nasional

19 rumah di Kupang dilanda banjir kilat

Oleh: Selwam Arjunan

BALING: Kira-kira 19 rumah di tiga kampung di Kupang, di sini, dilanda banjir kilat akibat hujan lebat, petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata 10 buah rumah di Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang (5), Kampung Bendang Pecah (4) di Mukim Kupang dinaiki air.

Selain itu, dua kampung di Mukim Bakai turut terjejas akibat banjir kilat yang membabitkan  Kampung Jernang dan Kampung Sedim.

Bagaimanapun, setakat ini pihaknya masih belum mendapat jumlah sebenar keluarga yang terjejas dan proses bancian masih berjalan.

“Pihak APM Baling menerima kes berkaitan banjir kilat ini pada jam 5 petang dan seramai dua pegawai serta lapan anggota terbabit dalam operasi penyelamatan.

“Bagaimanapun setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka untuk memindahkan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Faizol berkata, sejak beberapa hari kebelakangan ini, daerah Baling  mengalami perubahan cuaca yang tidak menentu dengan peningkatan taburan hujan yang berterusan.

Beliau berkata, hujan lebat direkodkan terutama pada waktu petang dan malam, menyebabkan beberapa kawasan rendah terdedah kepada risiko banjir kilat dan tanah runtuh.

“Hasil tinjauan petugas APM di tempat kejadian mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa buah kampung.

“Banjir sungai terjadi apabila hujan lebat yang berlaku di kawasan hulu menyebabkan alur sungai tidak mampu menyalurkan kuantiti air hujan yang banyak.

“Petugas APM membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat dan operasi pemindahan serta bantuan sedang dilakukan untuk memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.

Ujarnya, perkembangan terkini akan dilaporkan dari semasa ke semasa oleh pihak APM dan pihak yang berwajib, manakala penduduk kawasan terbabit juga akan dimaklumkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini