Tumpuan :
Nasional

187 mangsa banjir dipindahkan di Nabawan

Pasukan APM mendaftarkan mangsa banjir yang dipindahkan di PPS Gereja SIB Salarom Baru. – FOTO: Ihsan APM

KOTA KINABALU: Sebanyak 187 orang daripada 51 keluarga dipindahkan selepas banjir semakin memburuk di daerah Nabawan, pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memberitahu semua mangsa banjir kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Gereja SIB Salarom Baru yang dibuka jam 12.30 tengah malam tadi.

“Trend pemindahan mangsa banjir adalah kekal pada pagi ini. Banjir dipercayai akibat hujan lebat berterusan bermula petang semalam,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Nabawan ialah sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah terletak kira-kira 195 kilometer ke arah selatan dari Kota Kinabalu yang mengambil masa empat hingga lima jam perjalanan antaranya merentas Banjaran Crocker.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah memberitahu hanya satu jalan iaitu Jalan Pamuntarian-Kabu Baru di Nabawan tidak boleh dilalui akibat  banjir dan tiada jalan alternatif boleh digunakan pengguna jalan raya buat masa ini.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia jam 5 pagi tadi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang  di kawasan pantai barat negeri ini terutama Kota Belud dan Kudat hingga jam 9 pagi ini. -BERNAMA

Loading...
Terkini