Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: 182 pendatang tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI siri 9 yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, di Tawau, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI terbabit dihantar pulang menggunakan jalan laut melalui Pelabuhan Tawau.
“Pecahan tahanan yang dihantar pulang terdiri daripada 145 lelaki, 31 wanita dan enam kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
“Semua PATI yang dihantar kali ini adalah tahanan warganegara Indonesia yang ditempatkan di Depot Imigresen Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, PATI yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh Sabah adalah mereka yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
hukuman yang dikenakan ke atas semua PATI berkenaan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga tindakan terakhir iaitu pemindahan keluar dari negara.
“Justeru, semua warga asing diingatkan supaya memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah, Malaysia terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,”katanya.
Operasi pemindahan ini ujarnya adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Tahanan Imigresen di Sabah.
“JIM Sabah terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan negara dan mendapat pengesahan kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.