Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seramai 180 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu, hari ini.
Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan dan Tawau itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut feri MV Ming Hai Express ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang ini membabitkan 64 lelaki, 67 wanita dan 49 kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia sekitar tujuh bulan sehingga 67 tahun.
Sitti berkata, kanak-kanak yang terbabit dengan program berkenaan akan balik ke negara asal bersama ibu bapa atau penjaga yang sah.
Semua tahanan telah balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri.
“Semua PATI yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya sehingga kini seramai 5,993 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 8,650 orang.
“Semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Ujarnya lagi, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot imigresen di Sabah.
“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.