![](https://media.buletintv3.my/2025/02/18-sekeluarga-lapor-polis-dakwa-ditipu-agensi-umrah.jpg)
GEORGE TOWN: Seramai 18 sekeluarga hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu sebuah syarikat agensi umrah yang mengaburi mata jemaah dengan tawaran eksklusif Pakej Umrah Makkah Tower sejauh kira-kira 50 meter dari Masjidil Haram.
Mohd Hilmi Che Ros, 40, berkata, namun sebaliknya berlaku apabila mereka ditempatkan di hotel sejauh 3.2 kilometer sehingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan membayar tambang teksi untuk berulang-alik ke Masjidil Haram.
Peniaga buah-buahan itu berkata, keluarganya membayar RM8,890 seorang bagi jemaah dewasa dan RM8,590 untuk warga emas serta kanak-kanak membabitkan kos keseluruhan mencecah RM150,000 dan terkilan hanya mengetahui perubahan lokasi hotel selepas berangkat ke Makkah, 23 Januari lalu.
“Lebih teruk, ada yang dikenakan caj lebihan RM500 tidak termasuk harga pakej itu kerana mereka kata bilik naik harga. Mereka juga kata kami akan tinggal di bilik yang jauh dan sempit itu sehari sahaja tapi sampai tarikh balik kami tidak merasa tinggal di Makkah Tower.
“Saya paling kasihan kepada jemaah uzur berkerusi roda selain jemaah wanita yang berdepan kesulitan tawar-menawar untuk menaiki teksi. Tambang paling rendah 30 riyal pula boleh jadi lagi mahal pada waktu puncak.
“Bas ‘shuttle’ pula perlu naik dua kali selain perlu bergerak pantas untuk bersaing mendapatkan tempat dan ini menyukarkan rombongan kami yang ada, anak kecil dan sebagainya,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru di sini, hari ini.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/Mohd-Hilmi-Che-Ros.jpg)
Mohd Hilmi berkata pada awalnya dia sudah berasa hairan apabila diminta membayar caj tambahan bagasi RM100 seorang walaupun bayaran penuh telah dibuat dua bulan sebelum berangkat dan mengikut perjanjian, bagasi sepatutnya diberi secara percuma kerana sudah termasuk dalam harga pakej.
“Lebih menghairankan bagasi yang kami terima tiada sebarang cop syarikat agensi umrah tersebut seperti bagasi contoh yang dipromosikan kepada kami sebelum ini.
“Sampai hari ini saya masih nampak agensi itu promosi Pakej Umrah Makkah Tower di media sosial mereka dan ada yang sudah daftar untuk umrah Ramadan selain ada rombongan yang sekarang berada di tanah suci menerima nasib sama macam kami,” katanya menambah mereka tiba di tanah air, Isnin lalu.
Katanya, mereka turut dikejutkan dengan pembatalan kereta api laju dua hala dan ditukarkan kepada sehala dari Makkah ke Madinah dan hanya dimaklumkan mengenai perubahan itu setelah mereka tiba di lapangan terbang pada hari keberangkatan.
“Di Madinah juga sebenarnya kami tidak dapat hotel seperti dijanjikan. Bilik yang kecil disumbat empat katil dan dipenuhi barang sehingga tiada ruang untuk solat. Tetapi kami sudah reda, dan bersyukur dapat berulang-alik ke Masjid Nabawi.
“Makanan di hotel Madinah juga tidak boleh dijamah dan kami terpaksa beli makanan di luar dan ini menambahkan kos lagi. Kami juga perlu membayar RM50 seorang kepada ‘orang tengah’ sekiranya ingin masuk Raudah,” katanya.
Mohd Hilmi berkata jemaah berusaha meminta pemulangan wang sekurang-sekurangnya RM2,000 hingga RM3,000, namun, mereka hanya dijanjikan bayaran balik RM600 seorang tetapi hingga sekarang belum diterima.
Dia mendakwa, syarikat umrah itu seolah-olah beroperasi secara ‘try and error’ sehingga ada jemaah yang langsung tidak menerima visa umrah walaupun sudah ditanya berkali-kali dan akhirnya menerima visa pelancong kurang 30 minit sebelum kapal terbang berlepas.
“Kami telah cuba untuk bertemu secara peribadi dengan ejen untuk berbincang tentang perkara ini namun pihak agensi berdiam diri dan tidak respons kepada panggilan serta mesej yang dihantar dan kami menganggap mereka lepas tangan.
“Mereka juga kata mereka tiada di pejabat dan tiada sesiapa yang dapat memberikan penjelasan mengenai isu ini. Saya percaya saya telah ditipu oleh agensi terbabit yang telah mengambil duit kami tanpa memberi perkhidmatan yang dijanjikan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.