Tumpuan :
Nasional

18 pelajar perempuan berdepan detik cemas bangunan asrama terbakar

Oleh: Zahir Senapiah

SEGAMAT: 18 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Batu Anam dekat sini berdepan detik cemas apabila yang mereka diami terbakar dalam kejadian malam semalam.

Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.40 malam.

Susulan itu katanya, 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat dan BPP Bandar Baru Segamat dibantu lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran bangunan asrama dua tingkat di Blok B asrama puteri di sekolah berkenaan” katanya.

 

Ujarnya, kebakaran di bangunan jenis kekal itu hanya membabitkan satu daripada sembilan bilik asrama yang ada di blok berkenaan.

Kebakaran membabitkan sebuah bilik asrama di bahagian bawah yang berkeluasan 15 x 8 meter dan telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bilik berkenaan.

Jelasnya, ketika kejadian terdapat 18 penghuni dalam blok terbabit membabitkan  pelajar perempuan tingkatan satu hingga tingkatan Lima.

Semua mereka berjaya keluar dengan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara yang hangus 10 unit katil bertingkat dan tilam dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tiga bulan lalu bangunan asrama lelaki sekolah yang sama turut hangus dalam terbakar.

Kebakaran jam 1.53 pagi itu membabitkan dua bilik asrama dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.

Seramai 30 pelajar lelaki dilaporkan selamat dan kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan asrama terbabit.

Loading...
Terkini