Tumpuan :
Nasional

18 pegawai kadet ATM tamat Program Latihan 2U2I Juruterbang

Panglima ATM Tan Sri Affendi Buang bersama barisan pegawai peserta Program 2U2I Juruterbang – FOTO: ATM

KUALA LUMPUR: Seramai 18 pegawai kadet (PK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menamatkan Program Latihan 2U2I Juruterbang, hari ini.

PK tersebut julung kalinya membabitkan dua cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

ATM dalam satu kenyataan berkata Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet ATM Program 2U2I Juruterbang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang di Dewan Tun Templer, Kem Perdana Sungai Besi.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Menurut kenyataan itu, Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan sebelum ini dilaksanakan Panglima Tentera Udara di Kolej Tentera Udara (KTU) pada 17 Disember tahun lalu.

“Pecahan Pegawai Muda (2U2I) Juruterbang ATM pada tahun ini bagi perkhidmatan TDM ialah tiga lelaki, manakala bagi TUDM seramai 14 lelaki dan seorang wanita,” katanya.

Kenyataan itu berkata, program latihan berkenaan dilaksanakan mulai 13 Julai 2018 hingga 7 Februari 2021 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi program 2U dengan lulus Kepujian Kelas Kedua (Tinggi), Ijazah Sarjana Muda Penerbangan (ZK61).

“Seterusnya mulai 8 Februari 2021 hingga 17 Disember 2022, mereka meneruskan latihan di Institut Penerbangan 1 dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 1 dan INSPEN 2) bagi program 2I.

Bagi pegawai kadet yang lulus Kursus Asas Penerbangan (BFC) Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter (BHFC) Siri 63/21, mereka seterusnya layak ditauliahkan Pegawai Muda ATM dengan pangkat Leftenan Muda,” kata kenyataan itu.

Katanya, majlis berkenaan adalah satu pengiktirafan amat bermakna kepada ATM kerana berjaya melahirkan juruterbang muda melalui program Latihan 2U2I menggunakan kepakaran pada peringkat TUDM.

Loading...
Terkini