comscore
Tumpuan :
Nasional

18 lokasi diserbu, 102 PATI ditahan

Pegawai Imigresen Negeri Sembilan melakukan serbuan ke 18 lokasi tumpuan warga asing di daerah Seremban, dan menahan 102 PATI. – FOTO: Ihsan JIM

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menggempur lokasi yang dikenalpasti menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di daerah ini dan berjaya menahan 102 individu, semalam.

Operasi diadakan dari jam 9.30 pagi semalam dan berakhir jam 4 pagi tadi itu menyerbu tapak projek, pusat hiburan, premis perniagaan dan kedai makan membabitkan 18 lokasi berbeza.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi itu membabitkan kekuatan keseluruhan anggota penguatkuasa imigresen seramai 20 pegawai Imigresen negeri itu.

“Pemeriksaan dijalankan berdasarkan aduan dan maklumat awal yang disalurkan kepada kami mengenai penyalahgunaan pas serta tidak mempunyai permit atau dokumen yang sah.

“Seramai 127 diperiksa dan seramai 102 PATI ditahan. Mereka yang ditahan berumur di antara 17 hingga 55 tahun terdiri daripada warga Bangladesh (32), Indonesia (26), Pakistan (5), Myanmar (1), warga India (5), wanita warga China (15) dan wanita Thailand (8),” katanya hari ini.

Jelas Kennith, hasil pemeriksaan juga mendapati, terdapat pekerja warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta pas yang sah selain ada yang menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS).

Kennith berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan bagi operasi ini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut. Sebanyak 11 borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke pejabat kami bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini