KUALA LUMPUR: Sejumlah 18 individu dijatuhi hukuman mati sejak 1 Januari tahun ini hingga 14 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jumlah itu merangkumi 12 kes di Mahkamah Tinggi, manakala enam lagi di Mahkamah Rayuan.
“Sepanjang tempoh sama, seramai 866 individu mendapat peringanan hukuman mati di Mahkamah Persekutuan.
“Daripada jumlah itu, 52 individu adalah banduan yang berada di peringkat rayuan yang telah diberikan peringanan hukuman mati kepada hukuman pemenjaraan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH- Bukit Gelugor) mengenai bilangan individu dijatuhi hukuman mati untuk kali pertama dari 1 Januari 2024 hingga 14 Oktober 2024 dan bilangan peringanan hukuman mati dalam tempoh sama.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, 814 individu lagi diberikan peringanan hukuman mati kepada hukuman pemenjaraan melalui pendengaran permohonan semakan hukuman mati di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847)yang berkuat kuasa pada 12 September tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.