
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan 18 bantuan umum dan khusus persekolahan bagi menjaga kebajikan murid di negara ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata bantuan itu akan diagihkan kepada Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) melibatkan peruntukan lebih RM5.5 bilion.
“Dalam usaha ini, KPM menyediakan 18 jenis Bantuan Persekolahan bagi tahun 2025 yang terdiri daripada 5 jenis Bantuan Umum dan 13 jenis Bantuan Khusus.
“Bagi tahun 2025, KPM telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.209 bilion untuk Bantuan Umum yang merangkumi Bantuan Geran Per Kapita, Bantuan Sukan, Bantuan Makanan Prasekolah, Bantuan Geran Per Kapita Prasekolah dan Bantuan Tambahan Persekolahan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Perbahasan Usul Sesi Penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, Bantuan Umum itu termasuk keperluan pembelajaran pembelajaran dan pengajaran (PdP), pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum serta pentadbiran sekolah atau asrama.
Ia akan diagih berdasarkan kemasukan murid bagi memastikan setiap sekolah mendapat peruntukan yang mencukupi.
“Bantuan Khusus pula merupakan bantuan berbentuk kewangan dan barangan yang diberikan kepada murid berdasarkan merit dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh KPM.
“Bagi Bantuan Khusus pula sebanyak RM4.305 bilion diperuntukkan kepada murid SK dan SBK yang layak dan mematuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, jelas Fadhlina, kementeriannya turut memperkenalkan sistem pembantu guru menerusi inisiatif MySTEP di sekolah yang dikenal pasti.
“Sebanyak 274 sekolah menengah yang mempunyai enrolmen 1,500 ke atas serta tujuh buah sekolahmenengah pendidikkan khas telah dikenal pasti untuk dilaksanakan inisiatif ini.
“Setiap sekolah akan menerima dua orang MyStep pembantu guru dan jumlah keseluruhan adalah seramai 548 orang akan ditempatkan di sekolah yang terlibat,” jelasnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.