KUCHING: Masyarakat perlu berhati-hati dalam menilai isu kehamilan remaja kerana bukan semua berlaku tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu.
Daripada jumlah itu seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.
“Sebab itu, kami kena berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu kehamilan remaja kerana sebahagian besarnya berlaku kepada remaja yang sudah bernikah secara sah menerusi perkahwinan mengikut adat.
“Sebab itu, kita tidak mahu ia menjadi isu dalam negara, namun pelbagai usaha diambil untuk menanganinya,” katanya pada Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di Yayasan Sarawak anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPLN), hari ini.
Nancy berkata, program dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) dan rakan strategik penganjur iaitu Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memberi tumpuan kepada ibu bapa kerana cabaran utama dalam isu itu membabitkan remaja yang masih bersekolah.
“Sekolah lebih banyak memberi tumpuan kepada akademik, sebab itu kita menganjurkan program kepada ibu bapa dalam usaha menangani isu ini.
“Kebanyakan ibu bapa malu untuk mendedahkan jika berlaku kehamilan kalangan anak remaja kerana bimbang dengan stigma masyarakat,” katanya.
Antara objektif pelaksanaan forum itu katanya adalah memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada ibu bapa.
“Ia diharap dapat membantu dalam proses kemandirian dan sosialisasi remaja dan penganjuran forum ini juga dilihat sebagai satu medium yang terbaik dalam membincangkan isu-isu berkaitan pendidikan reproduktif dan sosial remaja.
“Perbincangan mengenai topik ini seharusnya tidak lagi dianggap taboo atau sensitif, kerana kebimbangan ibu bapa atau masyarakat tentang maklumat kesihatan reproduktif, hanya akan menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan remaja,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya menganjurkan program Perkhemahan Kasih Keluarga di Pantai Pugu, Lundu pada 16 dan 17 November ini.
Program sempena November Bulan Keluarga Kebangsaan itu yang turut menarik penyertaan orang ramai dari Semenanjung bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.