Tumpuan :
Nasional

175 pegawai, anggota polis dibuang kerja sejak 2023

Foto: NSTP

BANGI: Seramai 175 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja sejak tahun lalu kerana pelbagai kesalahan termasuk jenayah merangkumi pemerasan, penyalahgunaan dadah dan sindiket dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu susulan 1,869 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh 2023 hingga Ogos lalu.

Tahun lalu, katanya, seramai 1,238 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib dan daripada jumlah itu, seramai 139 orang dibuang kerja.

“Perangkaan bagi tahun ini setakat Julai lalu merekodkan 631 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib dengan 36 daripadanya dibuang kerja.

“Kita sentiasa memantau pembabitan pegawai dan anggota dengan aktiviti salah laku sebagai langkah pemerkasaan dan pematuhan dalam PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Awam Ke-20 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad serta Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Ayob Khan berkata, statistik itu menunjukkan PDRM konsisten dan berterusan mengambil tindakan dan tidak bertolak ansur terhadap pegawai dan anggota yang terbabit dengan salah laku.

“Tindakan tatatertib dan buang kerja ini dilakukan secara konsisten dan berterusan sebagai pelan intervensi menangani salah laku warga PDRM,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman turut membuat pemeriksaan di lapangan dan tindakan terhadap penyelia yang gagal menyelia anggota di bawah Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Setakat ini, 50 penyelia dikenakan tindakan dan kita turut membuat pemprofilan ke atas anggota dan pegawai yang hidup mewah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini