Tumpuan :
Nasional

171 warga Bangladesh ditahan di Teluk Ramunia adalah pekerja sah

Tangkap layar video tular

KOTA TINGGI : Seramai 171 warga Bangladesh yang ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Teluk Ramunia, Pengerang pada Rabu lalu, memasuki negara ini secara sah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, siasatan awal mendapati semua mereka yang berumur 19 hingga 43 tahun masuk ke negara ini melalui ejen pekerjaan yang sah.

Bagaimanapun katanya, mereka belum mendapat kerja kerana tiada tawaran yang sesuai daripada pihak majikan.

“Video ratusan pekerja asing warga Bangladesh yang beratur panjang telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, Rabu lepas.

“Susulan itu pihak ATM telah menahan mereka dan telah membuat laporan di balai polis batu damai” katanya mengulas penularan video di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Kesemua warga asing berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Johor untuk tindakan lanjut.

Jurucakap Jabatan Imigresen Johor  memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beberapa hari lalu tular video berdurasi 1 minit 33 saat menunjukkan ratusan warga asing sedang berjalan kaki dalam barisan yang panjang di sekitar Teluk Ramunia.

Kehadiran mereka menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

Loading...
Terkini