Tumpuan :
Nasional

171 keluarga mangsa banjir Segamat terima bantuan YBR

Mohamad Ghazali Zainal Abidin (dua kiri) dan Bastien Onn (dua kanan) menyerahkan sumbangan YBR kepada mangsa banjir di Dewan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam, Gemereh, Segamat, Johor.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 171 keluarga yang terkesan banjir sekitar Segamat, Johor menerima bantuan tunai daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, berkata bantuan khas dengan jumlah keseluruhan RM44,200 itu dibahagikan kepada setiap keluarga yang dikenal pasti melalui Persatuan Belia Generasi Merdeka bagi memudahkan proses pengagihan bantuan.

“Kita berharap bantuan ini dapat membantu ketua keluarga yang terjejas dan pihak yayasan akan mengusahakan lebih banyak bantuan lagi untuk disalurkan ke kawasan lain yang turut terjejas.

“Kami bersimpati dengan kerugian yang dialami akibat bencana banjir dan bantuan itu diharap sedikit sebanyak membantu mereka dalam menyediakan keperluan asas pasca banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Penaung Persatuan Belia Generasi Merdeka, Datuk Bastien Onn di Dewan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam, Gemereh Segamat.

Hadir sama, Ketua Kampung Bukit Kledang, Supardi Jumat, wakil Komuniti Bendahara Kampung Lubuk Batu, Mohd Ismail Abd Latip dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Syaiful Rizal berkata, dengan bantuan terbabit ia diharap memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang terkesan dalam meringankan urusan kewangan bagi menguruskan persediaan persekolahan yang bermula 19 Mac ini.

Sementara itu, Bastien berkata, pihaknya berterima kasih kepada YBR kerana menyantuni mereka yang terkesan dengan bencana banjir.

“Diharapkan dana yang diagihkan dapat digunakan bagi mendepani musibah banjir dan menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya.

Untuk rekod pada tahun lalu, YBR memperuntukkan lebih RM800,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Loading...
Terkini