comscore
Tumpuan :
Jenayah

17 warga asing ditahan, salah guna pas lawatan sosial dan permit kerja

Foto Ihsan JIM

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 17 warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial serta permit kerja dengan bekerja di restoran dan menjaja di sekitar daerah ini.

Dalam satu operasi di sebuah restoran di Taman Setia Tropika di sini, semalam, seramai 13 warga asing ditahan.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Selera yang dilaksanakan kira-kira jam 1.20 petang itu, menyerbu restoran yang tular dan terkenal di aplikasi TikTok

“Kita berjaya menahan seramai 13 warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di restoran yang tular di TikTok itu.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka yang ditahan adalah 13 lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 20 tahun hingga 32 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Foto Ihsan JIM

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Mohd Rusdi berkata, seramai empat warga asing ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan pas atau permit.

Katanya, dalam seorang lelaki warga Pakistan berusia 22 tahun dicekup ketika leka berjaja buah-buahan dari meja ke meja di sebuah kedai makan di sekitar Larkin di sini.

Manakala, katanya, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga China yang berusia 22 tahun hingga 40 tahun ditahan di sebuah restoran makanan tidak halal kerana bekerja dan tidak memiliki dokumen yang sah.

Mohd Rusdi berjata, semua warga asing yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan terus konsisten melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lokasi- lokasi tumpuan.

“Kita turut memerangi majikan serta individu yang menggaji pekerja warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tepat tentang keberadaan PATI diseru melaporkan segera kepada JIM Negeri Johor di talian 07-2338400 atau emel ke https://imi.spab.gov.my,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini