Tumpuan :
Nasional

17 termasuk 2 kanak-kanak ditahan rentas sempadan guna pangkalan haram

 

Foto fail NSTP

KOTA BHARU: 17 individu termasuk dua kanak-kanak ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dikesan masih menggunakan pangkalan haram untuk rentas sempadan sepanjang Disember tahun lalu sehingga semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, individu berkenaan termasuk 13 lelaki ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen.

“Tangkapan membabitkan sembilan penduduk tempatan dan lapan warga asing dan kebanyakan mereka menggunakan alasan sama iaitu urusan keluarga dan mencari pekerjaan.

“Kebanyakan mereka menggunakan pangkalan haram pada waktu siang sekitar jam 11 pagi hingga 6 petang berikutan tujuan mereka hanya untuk urusan keluarga dan urusan pekerjaan,” katanya ketika dihubungi BH.

Katanya, PGA sentiasa memperketatkan kawalan sempadan di kawasan tanggungjawab yang diberikan dengan melaksanakan rondaan motosikal dan rondaan bot.

“Kita juga melakukan pemantauan pangkalan haram secara berterusan 24 jam walaupun berhadapan dengan cabaran musim tengkujuh dan juga sedikit ketidakpuasan hati penduduk tempatan berikutan penguatkuasaan larangan rentas sempadan bermula Disember lalu.

“Kesan daripada kawalan ketat yang dijalankan dapat dilihat dengan kes tangkapan serta rampasan yang diaksanakan PGA,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini