KOTA KINABALU: Sebanyak 17 projek persekutuan dikenal pasti sebagai projek sakit di Sabah, manakala 420 projek yang sudah diluluskan masih dalam peringkat pra pelaksanaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tumpuan ketika ini adalah untuk menyelesaikan projek terbabit dan memastikan 420 projek yang belum bermula dapat dimulakan secepat mungkin.
Beliau bagaimanapun berkata daripada jumlah itu, sudah ada projek yang bermula tetapi lambat dilaporkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), menyebabkan maklumat pelaksanaan projek tidak dapat dikemas kini.
“Projek sakit di Sabah tidak banyak, hanya 17 projek saja, tapi projek dalam peringkat pra pelaksanaan itu banyak, ada lebih kurang 420 dan itu yang kita nak fokuskan.
“Tapi daripada 420 itu, ada sudah yang bermula, masalah cuma lambat kemas kini laporan di ICU kerana ia dimasukkan dalam program pra pelaksanaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kepada Kerajaan Sabah, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Fadillah yang juga Menteri PETRA, berkata mesyuarat penyelarasan projek persekutuan di Sabah semalam dapat mengenal pasti sebahagian daripada 420 projek dalam senarai pelaksanaan yang sudah bermula.
“Ada yang masih dalam proses tender, ada yang baru dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dan ada yang masih dalam penilaian dan sebagainya.
“Jadi, kita berharap pada tahun depan, projek itu dapat dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata bagi projek persekutuan yang bermasalah di Sabah, kebanyakannya membabitkan pembinaan kemudahan asas termasuk bekalan air dan jalan raya luar bandar serta sekolah.
Katanya, masalah itu boleh diselesaikan, namun masalah berpunca daripada kontraktor yang tidak dapat menyelamatkan projek, selain ada kes kontraktor penyelamat yang dilantik juga gagal menyiapkan projek terbabit.
“Ia salah satu masalah yang kita hadapi. Masalah kedua, apabila projek tidak siap dan bila nak tambah masa (EOT) dan lantikan kontraktor baharu, ia membabitkan kos tambahan.
“Jadi, kos tambahan menyebabkan bajet tidak cukup, jadi kita kena minta notis dari Kementerian Ekonomi untuk cari peruntukan, jadi ini akan memakan masa dan cabaran melaksanakan projek.
“Sebab itu tahun depan, kita mahu pastikan seminimum mungkin kelewatan projek, jika lewat kos tambahan akan berlaku,” katanya.
Katanya, masalah pelaksanaan projek juga disebabkan isu tanah dan tapak yang tidak sesuai menyebabkan tapak baharu perlu dicari semula bagi melaksanakannya.
Fadillah berkata, sebagai langkah mempercepatkan pelaksanaan projek, kaedah ‘pre-approved plan’ yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan kongsikan kepada JKR Sabah untuk dilaksanakan di negeri ini.
Terdahulu, beliau berkata sebuah jawatankuasa pemantau yang akan diketuai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bersama ICU di Sabah dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah diwujudkan untuk memantau secara bulanan perkembangan setiap projek persekutuan di Sabah.
“Sabah salah satu negeri menerima peruntukan paling tinggi diikuti oleh Sarawak tetapi dari segi pelaksanaan kita menghadapi cabaran yang mana walaupun peruntukan misalnya RM6.6 bilion tapi hanya dapat dibelanjakan RM4.5 bilion atau RM4.6 bilion.
“Jadi, sebab itu kita nak melihat bagaimana kita nak pastikan peruntukan yang diluluskan itu dapat digunakan dengan baik supaya ianya dapat menyiapkan projek bukan saja untuk ekonomi Sabah tapi yang lebih penting untuk memastikan kemudahan kepada rakyat dapat kita sempurnakan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.