Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 17 kes berkaitan penyakit kecederaan paru-paru akibat penyalahgunaan bahan terlarang dalam cecair vape atau ‘Electronic Cigarette or Vaping Products Use Associated Lung Injury’ (EVALI) setakat ini.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memohon semua pengamal perubatan agar terus membuat notifikasi kepada pihak KKM sekiranya mana-mana pesakit dikesan menghidap penyakit tersebut.
“KKM ingin mengingatkan semua pengguna bahawa rokok elektronik atau vape adalah tidak selamat kerana memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan ia bukan satu kaedah alternatif untuk berhenti merokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KKM memulakan aktiviti pemantauan penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape termasuk EVALI melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan keperluan notifikasi bermula Jun 2022.
Ujarnya, KKM telah mewujudkan Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan EVALI pada 2021 bagi membantu pengamal perubatan mengesan dan merawat kes EVALI.
“Sehingga kini, penggunaan rokok elektronik telah terbukti mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya.
“Bahan-bahan yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberi kesan keradangan kepada lapisan paru-paru dan menyebabkan penyakit EVALI,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun meningkat dari 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun lalu.
Peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8 peratus pada 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada 2022.
“Bagi mereka yang merokok dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di klinik-klinik kesihatan berdekatan atau melayari www.jomquit.com,” katanya.