KUALA LUMPUR: 1,671 pegawai kanan dan pegawai rendah polis dibuang kerja sejak kewujudan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Sri Azri Ahmad berkata, dalam tempoh 10 tahun, jumlah keseluruhan yang diambil tindakan adalah seramai 15,546 orang.
Menurutnya, sebanyak 40,436 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) juga dibuka atas pelbagai kesalahan dan aduan.
“Siasatan tatatertib yang telus dan tindakan punitif sebegini adalah di antara pendekatan kepada kesungguhan PDRM mengawal salah laku warganya.
“Bagi pelaksanaan teras pematuhan, dari semasa ke semasa seramai lebih kurang 10,000 hingga 20,000 personal dipantau dan diperiksa secara langsung oleh Cawangan Pematuhan JIPS, Bukit Aman selaku ‘oversight bodies’.
“Keutamaan adalah ke atas petugas barisan hadapan yang berurusan secara langsung dengan masyarakat, iaitu bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan mematuhi undang-undang, peraturan, arahan dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Satu Dekad JIPS di Bukit Aman, hari ini.
Azri berkata, untuk rekod, sepanjang 2023 secara keseluruhan seramai 19,352 anggota diperiksa, di mana 1,396 daripadanya dikesan melakukan pelbagai salah laku.
“Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, seramai 11,221 personal diperiksa di mana 689 dikesan melakukan pelbagai salah laku.
“Pemeriksaan pematuhan juga turut dilaksanakan oleh JIPS kontinjen dan formasi. Jumlah keseluruhan bagi tahun lalu mencapai lebih 500,000 personal diperiksa,” katanya.
Katanya, Cawangan Risikan dan Operasi (RO) JIPS berperanan utama sebagai unit pengesanan dan pengesahan juga melaksanakan ribuan operasi.
“Sehingga kini, seramai 798 pegawai polis yang dipercayai terbabit dengan pelbagai kesalahan di antaranya seperti jenayah, perjudian dan kesalahan berkaitan dadah.
“PDRM yakin bahawa JIPS berada pada landasan yang betul di dalam mengatur tindakan bagi menangani isu integriti dan tata kelola pasukan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.