Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seramai 165 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan melalui Terminal Feri Tawau untuk dihantar pulang ke negara asal, semalam.
Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin itu dijalankan menggunakan pengangkutan laut terus ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 90 lelaki dan 39 wanita.
Tambah SH Siti, Imigresen Sabah turut menghantar pulang 36 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tiga bulan.
“Pemindahan tahanan PATI warganegara Indonesia telah dilaksanakan daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sabah dan Depot Imigresen Papar, Sabah melalui Terminal Feri Tawau, Sabah ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan pengangkutan feri Labuan Express dan Francis Express untuk penghantaran pulang ke Nunukan, Indonesia.
“PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.
“Pada 2025 sehingga semalam, seramai 165 tahanan PATI warga Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 337 warga asing yang dipindahkan ke negara asal.
“Berdasarkan rekod statistik pemindahan tahanan asing ke negara asal dari Sabah menunjukkan bilangan tertinggi yang dipindahkan adalah warga Indonesia seramai 165 (49 peratus), diikuti 145 warga Filipina (43 peratus); 14 warga Pakistan (4 peratus); 11 warga China (3 peratus) dan dua tahanan lain-lain warganegara (1 peratus),” katanya.
Beliau berkata, kekerapan pemindahan ini adalah tertakluk dengan pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) secara berterusan oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Malaysia.
Sementara itu, SH Sitti berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.