comscore
Tumpuan :
Nasional

1,602 mangsa insiden di laut tahun lalu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 279 kes insiden di laut direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tahun lalu membabitkan 1,602 mangsa.

Maritim Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daripada jumlah berkenaan, seramai 99 orang meninggal dunia manakala 51 mangsa hilang.

“Bersempena Hari Pencegahan Lemas Peringkat Antarabangsa, pelbagai agensi termasuklah Maritim Malaysia dengan kerjasama Project Life Aquatic, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan turut serta dalam menyambut hari bersejarah ini dengan memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran tentang lemas sebagai salah satu isu kesihatan awam.

“Ia termasuklah mengingatkan masyarakat berkaitan risiko lemas yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja namun ia boleh diatasi sekiranya langkah pencegahan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Hari Pencegahan Lemas Peringkat Antarabangsa atau ‘World Drowning Prevention Day’ diisytiharkan pada April 2021 ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diputuskan untuk disambut pada 25 Julai setiap tahun.

Pengisytiharaan sambutan itu berdasarkan jumlah mangsa lemas dicatatkan PBB iaitu dianggarkan 236,000 orang di seluruh dunia setiap tahun, yang menjadi antara faktor utama kepada kematian manusia yang berumur satu hingga 24 tahun.

Malah lemas turut diklasifikasikan sebagai faktor ketiga menyumbang kepada kematian akibat kecederaan yang tidak disengajakan (unintentional injury death).

Justeru, bagi mencegah peningkatan kes insiden terbabit di negara ini, Maritim Malaysia akan memaparkan video pesanan khidmat masyarakat berkaitan keselamatan berapung di air.

“Video itu akan disiarkan menerusi platform media sosial rasmi Maritim Malaysia sebagai kempen kesedaran selain sesi ceramah dan taklimat kepada masyarakat melibatkan pegawai Maritim Malaysia dan juga ahli akademik,” menurut kenyataan itu.

Menerusi video itu, Maritim Malaysia menjelaskan, setakat Jun lalu, agensi terbabit telah mengkoordinasikan lebih 130 insiden kecemasan di laut termasuk kes lemas.

Berdasarkan statistik insiden di laut, purata 15 kes lemas dilaporkan setiap tahun.

“Sekiranya berlaku kecemasan yang memaksa anda untuk terjun ke laut, pastikan anda memakai jaket keselamatan. Namun sekiranya anda tidak sempat memakainya, pastikan anda mampu berapung ketika berada di air.

“Bertenang dan jangan panik. Ingat insiden lemas di laut telah mengorbankan ribuan nyawa setiap tahun. Jangan jadikan angka ini kian bertambah. Lakukan satu tindakan, berapung untuk hidup,” menurut video pesanan khidmat masyarakat itu.

Loading...
Terkini