comscore
Tumpuan :
Nasional

160,000 MyKid sedang dicetak, dijangka siap hujung tahun ini

Foto hiasan

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: 160,000 kad pengenalan diri kanak-kanak MyKid kini sedang dalam proses pencetakan dan dijangka siap selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara JPN, Zamri Misman berkata pencetakan kad tersebut yang bermula minggu ini melibatkan jumlah yang tertangguh sejak tahun 2021.

“Kita sudah mula mencetak 160,000 Mykid yang tertangguh sejak tahun 2021. Insya-Allah kita akan mula sampai kepada pemohon yang mana kita dah siap, malah pemohon boleh semak dalam kita punya QR code kalau MyKid mereka sudah sedia untuk diterima.

“Kita baharu mulakan cetakan pada minggu ini insya-Allah pada bulan November atau Disember itu kita cuba pastikan kita dapat edarkan kepada semua.” katanya selepas ditemui secara eksklusif bersama Buletin TV3 ketika melawat Galeri Pameran Evolusi Rekod JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023 di sini, siang tadi.

Bagaimanapun katanya, kad MyKid yang dikeluarkan kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di negara ini bukan dokumen yang wajib dimiliki.

Sebaliknya, sijil lahir lebih penting dan masih boleh digunakan bagi sebarang urusan rasmi kerajaan kerana maklumat dokumennya yang lebih lengkap.

Sebelum ini, media melaporkan rungutan pemohon yang masih belum menerima MyKid berikutan ketiadaan bekalan di seluruh negara.

Ia dipercayai susulan masalah kekurangan bekalan mikrocip yang turut terkesan di peringkat global sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

Loading...
Terkini