Tumpuan :
Nasional

160 rumah setinggan di tanah kerajaan dirobohkan

Jentera berat digunakan untuk merobohkan rumah setinggan di tanah milik kerajaan di Kampung Agas Tiga Tarok, Pitas. – FOTO: PDRM

KOTA MARUDU: Sebanyak 160 rumah setinggan di tanah kerajaan negeri untuk rizab Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) dan rizab hutan di Kampung Agas Tiga Tarok, Pitas, dirobohkan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, tindakan perobohan ini penting bagi memastikan rumah-rumah berkenaan tidak menjadi penempatan PATI.

Katanya, ia juga dibimbangi akan menjadi penempatan anasir-anasir luar yang mungkin boleh menggugat keselamatan negara.

“Operasi ini dijalankan secara bersepadu membabitkan 12 jabatan serta agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta Jabatan Perhutanan.

“Operasi turut disertai Majlis Daerah Pitas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Safoda dan beberapa lagi agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairolnizal berkata, tindakan perobohan dijalankan mengikut Seksyen 173(1)(h) Ordinan Tanah Sabah berdasarkan surat kuasa yang dikeluarkan Pengarah JTU Sabah bertarikh 15 Mei 2024.

Katanya, operasi yang berjalan lebih tujuh jam itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden di luar jangkaan berlaku.

“Tindakan perobohan juga dilakukan selepas dua notis dikeluarkan pada 8 Mei dan 28 Jun lalu membabitkan 13 notis untuk rizab perhutanan dan 147 notis untuk rizab SAFODA.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan namun terdapat rampasan membabitkan sebuah motosikal Demak serta sebuah jana kuasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini