comscore
Tumpuan :
Nasional

160 jalan tikus dikesan di sempadan negara, kebanyakannya di utara

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasuition Ismail dalam Dewan Rakyat hari ini mendedahkan terdapat 160 jalan tikus dikesan di sempadan negara.

Beliau berkata ia melebihi jumlah keseluruhan 140 pintu masuk antarabangsa rasmi dengan kebanyakannya berada di Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Jalan tikus bermakna laluan yang tidak diwartakan oleh kedua-dua negara yang bersempadan…. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan, saya maklum akan (isu) jalan tikus ini,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerlun, Abd Ghani Ahmad yang ingin tahu mengenai langkah membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin melalui laluan tikus di sempadan negara.

Datuk Seri Saifuddin berkata seramai 61,152 orang telah ditahan kerana memasuki Malaysia tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan bagi tempoh 1 Jan hingga 12 Jun tahun ini.

Sementara itu, katanya seramai 2.3 juta warga asing kini berada di Malaysia untuk bekerja secara sah menggunakan pas lawatan kerja sementara.

“ Kementerian Ekonomi menetapkan tidak boleh melebihi 2.55 juta (warga asing masuk menggunakan pas lawatan kerja sementara) menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Menjawab soalan asal Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai langkah menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah, beliau memaklumkan pihaknya dengan kejasama Pejabat Ketua Menteri Sabah kini giat menjalankan pendataan warga asing.

Menurut beliau, bancian melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah dilaksanakan bagi mengkaji jumlah warga asing yang berada di Sabah secara tepat akan dimuktamadkan pada 25 Julai ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini